Giorgio Chiellini gembira dengan kejayaan Lionel Messi memenangi Ballon d'Or tahun ini tetapi pertahanan Juventus itu menyelar bahawa Cristiano Ronaldo telah "dirompak" daripada memenangi gelaran itu tahun lalu.

Bintang Barcelona, Messi, menjulang anugerah Bola Emas itu buat kali keenam awal pagi tadi, menewaskan pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk dan Ronaldo.

Ia hadir setahun selepas pemain tengah Real Madrid, Luka Modric, menamatkan dominasi 10 tahun Messi dan Ronaldo tahun lalu tetapi keputusan itu membuatkan Chiellini kecewa.

"OK buat Messi menang Ballon d'Or tahun ini," kata kapten Juve itu kepada Sky Sport Italia ketika majlis anugerah Gran Gala del Calcio di Milan, Ahad lalu.

"Ia merupakan satu kontroversi tahun lalu, Real Madrid mengambil keputusan bahawa Cristiano tidak seharusnya memenangi Ballon d'Or. Ia amat pelik."

Chiellini berkata lagi, "Real tidak mahu Ronaldo menang kerana dia bukan lagi salah seorang pemainnya."

Ronaldo menyertai Juventus daripada Real Julai tahun lalu dan dia telah dinobat sebagai Pemain Terbaik Serie A bagi musim 2018-19.

Juve dan Ronaldo masih belum menemui rentak terbaik musim ini, dengan kini ketinggalan satu mata kepada pendahulu liga, Inter, selepas 14 perlawanan.

"Saya berpandangan Juve yang sebenar akan muncul Januari ini. Kami masih memerlukan masa untuk menghadirkan aksi cemerlang."