Cristiano Ronaldo meraikan kejayaannya pada tahun 2016 dengan mempamerkan kereta terbarunya.

Pemain berusia 31 tahun itu menganggap tahun 2016 merupakan pencapaian terbaik dalam kariernya apabila berjaya menjuarai Liga Juara-Juara Eropah, Euro 2016, Piala Dunia Kelab di samping meraih anugerah Ballon d'Or buat kali keempat.

Selepas selesai sesi latihan pertama bersama Real Madrid pada Rabu, Ronaldo memuat naik gambar terbaru di akaun Instagram miliknya untuk menayangkan aset terbaru miliknya.

Dengan memaparkan kapsyen "new beast", dia memuat naik gambar sebuah kereta jenis Mercedes AMG GLE yang dianggarkan bernilai €115,000 (RM540,000).

Ronaldo -- yang turut dinamakan sebagai Atlet Eropah Terbaik dan Pemain Terbaik Globe 2016 minggu ini -- turut memuat naik gambar aksinya ketika sesi latihan di padang Valdebebas.

Madrid bakal kembali dengan aksi pertama tahun 2017 berdepan Sevilla di Santiago Bernabeu dalam saingan Copa del Rey.