Ronaldo sumbang trofi Ballon d'Or untuk Yayasan Make-A-Wish 

Oleh Penulis Jemputan 5 Oktober 2017 1900
Ronaldo sumbang trofi Ballon d'Or untuk Yayasan Make-A-Wish 
Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, telah menyumbang £600,000 (RM3.36 juta) kepada Yayasan Make-A-Wish selepas trofi Ballon d'Or 2013 yang didermakannya dijual dalam satu lelongan. 

Ronaldo memenangi anugerah Ballon d'Or pada 2008, 2013, 2014 dan 2016, menjadikannyanya salah seorang daripada hanya dua pemain -- dengan Lionel Messi lima kali -- yang meraihnya lebih daripada tiga kali.

Bidaan yang diadakan di Hotel Dorchester, London itu tertumpu kepada karya seni bagi membantu kanak-kanak yang berjuang melawan keadaan dan penyakit yang mengancam nyawa.

Tracey Emin, Dan Colen dan Rob Pruitt adalah antara pelukis terkenal yang membuat lelongan, dengan yayasan itu mengumpul £2.7 juta (RM15 juta), hampir dua kali ganda daripada sasaran awal mereka sebanyak £1.5 juta (RM8.4 juta).

Anugerah Ballon d'Or Ronaldo menjadi sumbangan besar bagi menandakan sokongan berterusannya terhadap projek amal itu, dengan dia sebelum ini turut menderma dana dan bekerjasama bagi memberi harapan kepada kanak-kanak yang sakit di seluruh dunia.

"Sumbangan berprestij ini tidak pernah berlaku sebelum ini," kata Penaung Make-A-Wish, Batia Ofer.

"Kemurahan hati Ronaldo sangat luar biasa dan saya terharu dengan jumlah wang yang disumbangkan untuk membantu memberi harapan kepada kanak-kanak yang menghadapi masalah yang mengancam nyawa," katanya lagi.

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen