REAL MADRID 2 SPORTING GIJON 1

Ketua jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane, berasakan Cristiano Ronaldo sudah kembali ke prestasi terbaiknya selepas membantu pasukan menewaskan Sporting Gijon 2-1 dalam saingan LaLiga.

Walaupun gagal mempamerkan aksi mantap, Madrid berjaya mengekal momentum sebagai pendahulu liga selepas Ronaldo meledak dua gol dalam tempoh 20 minit bagi memberikan kemenangan buat mereka di Santiago Bernabeu.

Pemain kebangsaan Portugal itu dilemparkan kritikan yang bertali arus pada awal musim tetapi Zidane berkata Ronaldo sudah kembali ke tahap terbaiknya selepas menjaringkan hatrik ketika bertemu Atletico Madrid, minggu lalu.

"Ronaldo boleh menjaringkan gol pada bila-bila masa," jelas Zidane. "Jika dia tidak menjaringkan gol, orang melihat bahawa dia sudah tidak bermain dengan baik.

"Dia banyak melakukan gerakan di bahagian tengah untuk bermain dengan Karim Benzema, dia seorang pemain yang bekerja keras dan telah kembali ke tahap terbaiknya."

Zidane turut mempertahankan pemain gantian, James Rodriguez, yang bergelut untuk mempamerkan aksi yang cemerlang.

"James telah bermain dengan baik, sama seperti pemain-pemain lain. Dia mungkin masih mencari rentak permainan tetapi saya gembira kerana dia berpeluang beraksi dalam perlawanan ini."