Ronaldo memuji rakan senegaranya, Neymar, selepas bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu menempatkan diri dalam senarai penjaring kedua terbanyak dalam sejarah Brazil, semalam.

Hatrik Neymar ketika menang 4-2 ke atas Peru dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022 menyaksikannya melepasi rekod Ronaldo dalam senarai penjaring sepanjang zaman skuad Samba itu.

Dengan 64 gol antarabangsa, Neymar melepasi catatan Ronaldo (62) sementara hanya Pele (77) memiliki rekod lebih baik daripada pemian berusia 28 tahun itu.

Ronaldo, yang memenangi dua edisi Piala Dunia ketika bersama Brazil di antara 1994 dan 2011, menggunakan media sosial untuk memuji pencapaian Neymar.



"Syabas @neymarjr!," tulis bekas penyerang berusia 44 tahun itu di Instagram, malam tadi.

"Dia gigih, memberi bantuan, membuka ruang, menggelecek dan melepaskan percubaan. Langit adalah hadnya. Terbanglah, nak!

"Sungguh indah kisah yang anda tulis. Anda pemain yang lengkap dan semakin matang. Memang hebat! ... Menangani tekanan dari luar padang kadang-kadang lebih mencabar daripada bermain bola itu sendiri.

"Sekarang beritahu saya: dari mana kita datang, dari mana kita berasal. Siapakah yang akan memberitahu kami mengenai perkara yang mustahil? Terus percayakan naluri anda kerana bakat itu milik anda dan tiada sesiapa pun yang boleh merampasnya daripada anda.

"Anda mempunyai banyak lagi rekod yang harus diatasi dan meletakkan penanda aras. Saya bangga melihat pemain Brazil berada di puncak!"

Hatrik Neymar ke atas Peru itu merupakan pencapaian keempatnya menyumbat tiga atau lebih banyak gol lagi untuk negaranya dalam sesebuah perlawanan, tetapi ia pertama kalinya berlaku dalam perlawanan kompetitif.