Maurizio Sarri memuji "sang juara" Cristiano Ronaldo selepas dua jaringannya menyaksikan Juventus merakamkan kemenangan 2-1 dalam saingan Serie A ke atas Parma.

Ronaldo menjaringkan gol dalam separuh masa pertama dan kedua ketika meraih kemenangan semalam, dengan menggunakan peluang di sebalik keputusan seri yang dirakam Inter apabila gagal mengatasi Lecce pada hari yang sama.

Bintang kelahiran Portugal itu turut membantu pasukan ketika bertahan, namun Andreas Cornelius berjaya mengatasinya untuk melakukan tandukan, sekali gus menyamakan kedudukan.

Sarri, bagaimanapun, gembira di sebalik prestasi naik turun apabila melibatkan Ronaldo.

"Kami memiliki seorang juara yang menghasilkan masalah buat anda, namun menyelesaikan 100 daripadanya," kata Sarri. "Seluruh pasukan sudah berpaksikan Ronaldo."

Ronaldo berpeluang untuk meraih lebih banyak gol dan Sarri kecewa dengan kegagalan pasukannya untuk menambah jaringan.

"Kekuatan mental pasukan boleh dipertingkatkan lagi, malah pengurusan dalam peralwanan turut boleh diperbaiki. Saya tidak gemar pemain-pemain sekadar mengawal bola tanpa menyerang.

"Menurunkan (Gonzalo) Higuain ketika kami mendahului 2-1 adalah pesanan jelas kepada pasukan; Juve perlu menamatkan perlawanan ini."

Kemenangan menyaksikan Juve kini mendahului Inter dengan berkelebihan empat mata, namun Lazio turut menghadirkan ancaman apabila mengikuti rapat di tangga ketiga serta berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Bagaimanapun, kebimbangan Sarri bukanlah terarah kepada Inter mahupun Lazio.

"Saya memiliki ketakutan terhadap perkara lain, bukan bola sepak. Bimbang? Sukar untuk menjelaskannya. Kami sedang bercakap tentang sukan.

"Kami menyedari Juve berdepan dua lawan yang kuat. Salah satunya berada di tahap terbaik dan berharap ia tidak bersifat jangka masa panjang."



Editor: Ammar Hakim