REAL MADRID 1 JUVENTUS 3

Hasrat Real Madrid untuk melangkah ke separuh akhir diselamatkan gol minit akhir oleh Cristiano Ronaldo untuk memastikan kemenangan agregat 4-3 ke atas Juventus walaupun tewas 3-1 dalam suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.


Selepas mencatat kemenangan 3-0 dalam aksi pertama di Itali minggu lalu, skuad kendalian Zinedine Zidane itu mempertaruhkan Ronaldo, Isco dan Gareth Bale di jentera serangan bagi menambah kelebihan gol.

Bagaimanapun, Los Blancos dikejutkan dengan jaringan pembukaan Juventus seawal minit kedua apabila Mario Mandzukic menanduk masuk hantaran Sami Khedira untuk menewaskan penjaga gol, Keylor Navas.

Isco hampir menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-33 selepas melepasi perangkap ofsaid untuk menyambut bola lorongan Ronaldo, namun percubaannya dinafikan oleh Gianluigi Buffon.

Sebaliknya, Mandzukic sekali lagi memberikan harapan kebangkitan buat The Old Lady menerusi gol kedua, empat minit kemudian.

Kesilapan benteng Madrid yang tampak mudah dibolosi tanpa kehadiran kapten, Sergio Ramos, yang digantung, membolehkan Stephan Lichtsteiner melakukan hantaran silang untuk ditanduk masuk penyerang Croatia itu bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Isco sekali lagi terlepas peluang untuk mencipta jaringan buat tuan rumah apabila tandukannya hasil sepakan percuma Toni Kroos sekadar singgah ke palang gol dan Madrid menamatkan babak pertama dengan ketinggalan dua gol.

Bersambung separuh masa kedua, Zidane mengambil keputusan untuk lebih menyerang apabila membawa masuk Marco Asensio dan Lucas Vazquez.

Ronaldo hampir merapatkan jurang buat tuan rumah selepas tujuh minit aksi bersambung, namun sepakannya dari dalam kotak penalti tepat ke dakapan Buffon.

Walaupun Madrid lebih banyak menyerang dalam babak kedua, Juventus akhirnya mengikat kedudukan agregat kepada 3-3 apabila kesilapan Navas yang gagal menangkap kemas bola hantaran lintang Douglas Costa pantas disambar Blaise Matuidi untuk menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-61.

Bangkit daripada lamunan, asakan bertali-arus Madrid akhirnya membuahkan hasil apabila tuan rumah dianugerahkan sepakan penalti setelah Mehdi Benatia menjatuhkan Vazquez.

Buffon dilayangkan kad merah kerana membantah keputusan pengadil dan penjaga gol gantian, Wojciech Szczesny, jelas tidak mampu menghalang Ronaldo daripada menjaringkan gol kemenangan buat Los Blancos pada minit terakhir perlawanan, yang membolehkan Madrid mengesahkan tempat ke separuh akhir dalam aksi penuh dramatik itu.