Bintang Real Madrid dan Portugal, Cristiano Ronaldo, berasakan dia telah menjawab segala kritikan dan keraguan terhadap dirinya dengan pencapaian yang menakjubkan pada 2016.

Kemenangan ke atas Atletico Madrid menyaksikan Ronaldo menjulang trofi Liga Juara-Juara (UCL) sebelum membawa Portugal memenangi gelaran pertamanya di pentas antarabangsa di Euro 2016 dan meneruskan kejayaannya dengan memenangi Piala Dunia Kelab.

Ronaldo memenangi Anugerah Ballon d'Or buat kali keempat dan dinobat sebagai pemain terbaik di Globe Soccer Awards.

"Ini merupakan tahun terbaik sepanjang karier saya sebagai pemain bola sepak," kata Ronaldo menerusi pesanan video.

"Kami memenangi UCL bersama Real Madrid, kami membantu Portugal melakar kemenangan sulung dalam kejohanan utama, saya menenangi Ballon d'Or dan Piala Dunia Kelab, saya tidak boleh meminta lebih lagi daripada itu.

"Kepada mereka yang masih meragui diri saya, Real Madrid dan Portugal, sekarang segalanya telah terbukti -- kami telah memenangi kesemuanya.

"Ia merupakan tahun yang terbaik dan saya sangat gembira. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan dan Real Madrid."