Cristiano Ronaldo percaya dia telah melakukan segala-galanya untuk memenangi anugerah Ballon d'Or 2016.
Pemain berusia 31 tahun itu merupakan pilihan untuk dinobat sebagai pemain terbaik di dunia selepas mempamerkan aksi yang mantap sepanjang 12 bulan bersama kelab dan skuad kebangsaan.

Ronaldo meledak 51 gol dalam 48 perlawanan dalam semua kejohanan bersama Real Madrid musim lalu, termasuk 16 gol dalam 12 penampilan aksi Liga Juara-Juara (UCL), sekaligus menyaksikan skuad kendalian Zinedine Zidane menjulang trofi UCL buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun.

Penyerang itu kemudian mengetuai skuad Portugal untuk melakar sejarah memenangi kejohanan utama buat pertama kali di Euro 2016. Ronaldo menjaringkan tiga gol sepanjang kejohanan, sebelum Eder menjaringkan gol tunggal ketika menewaskan tuan rumah, Perancis 1-0 dalam perlawanan akhir.

Bermula musim 2016-17, Ronaldo diberikan tamparan hebat kerana gagal mempamerkan prestasi cemerlang, dengan jaringan hatriknya ketika menewaskan Atletico Madrid pada Sabtu menjawab segala kritikan serta cemuhan yang ditujukan kepadanya.

Bekas pemain Manchester United itu turut berasakan dia telah melakukan segala-galanya untuk memenangi gelaran pemain terbaik dunia selepas mengharungi musim terbaik sepanjang kariernya.

"Saya telah memberikan yang terbaik buat musim ini," kata Ronaldo kepada Telefoot.

"Kami menang Liga Juara-Juara, saya memenangi Euros bersama Portugal. Undian tidak bergantung kepada saya dan saya tidak mahu terlalu taksub dengannya.

"Tetapi jika anda tanya saya jika saya mahu memenangi Ballon d'Or, saya akan berkata ya. Ini merupakan tahun yang menakjubkan bagi saya, tanpa sebarang keraguan, ia merupakan musim yang terbaik dalam kerjaya saya.

Pemenang, yang akan dipilih oleh panel wartawan dari seluruh dunia, akan diumumkan pada 13 Disember nanti.