Ronaldo: Saya bukan taksub tapi saya berhak rangkul Ballon d'Or

Oleh Penulis Jemputan 30 Oktober 2018 2926
Ronaldo: Saya bukan taksub tapi saya berhak rangkul Ballon d'Or
Cristiano Ronaldo berkata dia layak untuk memenangi Ballon d'Or buat kali keenam berbanding pesaingnya, termasuk Antoine Griezmann, Luka Modric, Kylian Mbappe dan Lionel Messi.

Ronaldo dan Messi telah memenangi anugerah tersebut sebanyak lima kali dalam tempoh sedekad, namun kedua-duanya menghadapi persaingan yang lebih hebat pada 2018 berbanding tahun-tahun sebelumnya. 

Griezmann dan Mbappe menawan Piala Dunia Russia sementara Modric meraih Anugerah Bola Emas di atas persembahan memukaunya untuk membawa Croatia ke perlawanan akhir.

Ronaldo membantu Real Madrid menjulang mahkota Liga Juara-Juara (UCL) buat kali ketiga berturut-turut sebelum menyertai Juventus dan dia yakin akan memenangi Ballon d'Or sekali lagi.

"Saya sudah berkali-kali mengatakan keinginan untuk memenangi Ballon d'Or keenam bukanlah suatu obsesi," kata Ronaldo dalam wawancara dengan France Football. 

"Dalam hati, saya tahu bahawa saya adalah salah seorang pemain terbaik dalam sejarah. Sudah tentu saya mahu memenangi Ballon d'Or keenam ini!

"Ia akan menjadi satu pembohongan untuk memberitahu anda sesuatu yang bertentangan. 

"Saya bekerja keras untuk mencapainya kerana saya bekerja keras untuk menjaringkan gol dan memenangi perlawanan tanpa menjadi obsesi. Mengenai Ballon d'Or... ya, saya fikir saya berhak meraihnya."

Keputusan Ronaldo untuk berhijrah ke Juve dalam kesepakatan bernilai €112 juta (RM532.8j) telah menggegarkan dunia bola sepak susulan bintang Portugis itu mengakhiri karier selama sembilan tahun di ibu kota Sepanyol itu.

Pemain berusia 33 tahun berkenaan menjelaskan bahawa dia memutuskan untuk menyertai juara Serie A tersebut ekoran hubungan buruknya dengan Presiden Madrid, Florentino Perez.

"Beliau hanya memandang saya sebagai hubungan perniagaan," tambah Ronaldo. "Saya tahu apa yang beliau katakan mengenai saya, tidak pernah terbit daripada hatinya.

"Saya berasakan situasi itu di kelab berkenaan, terutama oleh presidennya. Mereka tidak lagi melayani saya seperti yang mereka lakukan pada awal ketibaan saya.

"Dalam tempoh empat atau lima tahun pertama di sana, saya mempunyai perasaan sebagai 'Cristiano Ronaldo'. Selepas itu, cara presiden memandang saya tidak selari dengan apa diucapkannya, jika anda tahu apa yang saya maksudkan.

"Itulah yang membuatkan saya terlintas untuk pergi. Kadang-kadang saya membaca laporan yang mengatakan bahawa sayalah yang meminta untuk pergi.

"Mungkin saya ada memainkan sedikit peranan, namun hakikatnya saya sentiasa mempunyai tanggapan bahawa presiden tidak akan mempertahankan saya.

"Sekiranya segalanya berkisar tentang wang, saya akan berpindah ke China kerana saya akan meraih pendapatan lima kali ganda lebih banyak daripada di sini (Juve) atau di Real. Saya tidak datang ke Juve untuk wang. Saya meraih pendapatan yang sama seperti di Madrid.

"Perbezaannya di Juve ialah mereka benar-benar mahukan saya, mereka memberitahu saya dan menyatakannya dengan jelas."

Ronaldo mengesahkan perpindahannya ke Juventus tidak mempunyai kaitan dengan keputusan mengejut Zinedine Zidane melepaskan meletak jawatan sebagai pengurus Madrid selepas memenangi tiga gelaran UCL.

"Keputusan saya untuk berpindah bukan berdasarkan pemergiannya," tambah Ronaldo. "Jadi, ini salah satu perkara yang membuatkan saya berasa lebih baik mengenai apa yang saya fikirkan tentang situasi di kelab itu."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen