Cristiano Ronaldo mengakui sangat puas selepas meledakkan gol menerusi sepakan percuma ketika Juventus menewaskan Torino 4-1, semalam.

Juve meraih kemenangan selesa dan Ronaldo memainkan peranan utama, membuka ruang buat jaringan Juan Cuadrado sebelum menjadikan kedudukan 3-1 tatkala Paulo Dybala terlebih dahulu memecah kebuntuan.

Jaringan sendiri Koggi Djidji mengesahkan kemenangan bergaya tuan rumah selepas dia cuba menghalang hantaran lintang Douglas Costa.

Ledakan hasil sepakan percuma Ronaldo semalam merupakan yang pertama dalam 43 percubaan dan dia sedar situasi itu telah membakar semangatnya.

"Saya sangat perlukan sepakan percuma itu untuk tampil lebih yakin," katanya.

"Namun, apa yang penting adalah kemenangan tanpa mengira siapa yang menghasilkan gol. Penting untu kami menang tetapi kami telah beraksi dengan baik, begitu juga dengan Dybala dan saya tetapi seluruh pasukan juga cemerlang. Kami meningkatkan keyakinan dan berdepan AC Milan, kami perlu cuba menang."

Situasi itu awalnya tidak difahami pengendali Juve, Maurizio Sarri, tentang kepentingan gol itu buat Ronaldo.

"Saya tidak fikir dia bergelut dengan kekurangan gol hasil sepakan percuma tetapi apabila ia dihasilkan, dia berkata 'akhirnya' dan saya mula faham," ujar pengurus itu.

Juve akan menyambung aksi Serie A pada Selasa depan menentang Milan di tempat lawan.