Cristiano Ronaldo dan Sergio Ramos pernah mencuba untuk meyakinkan Robert Lewandowski menyertai Real Madrid, tiga tahun lalu, selepas didedahkan oleh penyerang Bayern Munich itu.

Sejak memperkuatkan Borussia Dortmund dan Bayern, Lewandowski sering dikaitkan dengan gergasi LaLiga itu.

Walaupun memuji usaha Ronaldo dan Ramos, tonggak Poland itu menolak perpindahan ke Madrid dan berkata dia gembira untuk terus beraksi di Allianz Arena.

Ditanya jika benar Ramos dan Ronaldo cuba meyakinkannya selepas aksi Liga Juara-Juara Eropah pada 2017, dia berkata: Ya!"

Di sebalik keputusannya untuk kekal dalam Bundesliga, dia juga menambah: "Anda boleh ke Liga Sepanyol atau negara lain serta kelab lain.

"Namun, bagi saya ia bukan perkara paling penting. Saya mampu mencapai tahap maksimum di sini dan mahu meneruskannya.

"Saya berada di dalam salah sebuah kelab terbaik dunia dan yakin akan gembira di sini.

"Kami di tahap tertinggi, daripada skuad utama sehingga kemudahan sukan. Lebih mudah apabila mewakili kelab sebegini."

Lewandowski kini telah meledakkan 39 gol musim ini sambil 25 daripadanya hadir daripada pentas Bundesliga dan dia menegaskan masih dahagakan jaringan.

"Saya menghabiskan seluruh permainan dengan meminta bola," tambahnya.

"Jika saya jaringkan gol, saya mahu gandakannya. Jika sudah memiliki tiga gol, saya akan cuba dapatkan yang keempat."

"Robert Lewandowski", "Bayern Munich", "Cristiano Ronaldo", "Sergio Ramos"