Cristiano Ronaldo pasti memenangi anugerah Ballon d'Or jika dia mewakili Real Madrid, kata ejen bintang Portugal itu, Jorge Mendes.

Pemenang lima kali Ballon d'Or, Ronaldo, gagal meraih sebarang anugerah individu sejak meninggalkan Los Blancos untuk menyertai Juventus pada 2018 tatkala Luka Modric dan Lionel Messi muncul pemenang dalam tempoh dua tahun.

Messi mencipta rekod apabila dinobatkan selaku pemenang buat kali keenam sambil Ronaldo menduduki tempat ketiga di belakang bintang Barcelona itu dan pertahanan Liverpool, Virgil Van Dijk.

"Ronaldo berhak meraih Ballon d'Or sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua tahun terakhir," katanya.

"Bagi saya, ia tidak adil apabila dia tidak muncul selaku pemenang. Dia seorang juara dan menjulang trofi Liga Negara-Negara UEFA.

"Namun, dia tahu apa perlu dilakukan dan lihat nanti apa berlaku tahun depan."

Ronaldo menikmati karier yang gemilang selepas lima kali menjulang trofi Liga Juara-Juara sambil turut memenangi Euro 2016, Liga Perdana Inggeris, Serie A, LaLiga dan Liga Negara-Negara UEFA.

Mengenai penyerang berusia 34 tahun itu, Mendes menambah: "Bagi saya, Ronaldo adalah pemain terbaik dalam sejarah bola sepak.

"Sebelum kehadirannya, Portugal tiada kejuaraan. Bersama Ronaldo, mereka memenangi Piala Eropah dan Liga Negara-Negara UEFA dan pada 2004, mereka ke final Kejohanan Eropah.

"Dia mengubah dunia bola sepak. Kami bercakap tentang Portugal, negara kecil yang banyak berubah. Terima kasih kepada Ronaldo."

Musim ini, Ronaldo telah menjaringkan 11 gol dalam semua kejohanan buat juara Itali, Juventus, dan sembilan daripadanya hadir dalam saingan Serie A.