Cristiano Ronaldo memuji penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam Serie A selepas Juventus menewaskan Sampdoria 2-1 dalam aksi penuh dramatik, semalam.

Ronaldo menjaringkan dua gol untuk meraih jaringannya yang ke-14 dalam liga, meletakkan Juventus gah di puncak liga dengan 53 mata ketika separuh musim, sekali gus mencatat rekod baru dalam liga tertinggi Itali.

Pemain berusia 33 tahun itu membuka tirai jaringan seawal minit kedua tetapi Fabio Quagliarela menyamakan kedudukan selepas pengadil menghadiahkan sepakan penalti atas kesalahan bola terkena tangan Emre Can susulan rujukan VAR.

Teknologi video itu sekali lagi digunakan setelah Alex Ferrari dilihat memegang bola di dalam kotak penalti, membolehkan Ronaldo kembali memberikan pendahuluan buat Juve dan Riccardo Saponara dinafikan peluang untuk menyamakan kedudukan selepas rujukan VAR menyaksikan dia berada di kedudukan ofsaid.

Masa tambahan selama lapan minit diberikan di Stadium Allianz tetapi Ronaldo berpendapat apa sahaja yang memudahkan tugas pengadil patut disokong.

"Saya menyokong VAR kerana ia mengurangkan kesilapan," kata Ronaldo.

"Kami harus membiarkan pengadil bekerja dengan aman. Sesetengah situasi tidak begitu mudah buat mereka," katanya.

Juve kini semakin selesa di puncak liga berbekalkan rekod tanpa kalah dan situasi itu membuatkan Ronaldo begitu gembira dengan pasukannya.

"Seluruh pasukan menjalankan tugas dengan baik," tambah Ronaldo.

"Kami melalui babak pertama musim dengan bagus dan harus mengekalkan usaha keras bagi memastikan kedudukan sehingga penghujung musim."