Ronaldo pernah terfikir jadi nelayan

Oleh Staff Writer 7 Februari 2020 501
Ronaldo pernah terfikir jadi nelayan
Cristiano Ronaldo menyangka dia akan menjadi seorang nelayan di Madeira pada usia 35 tahun tetapi kini yakin mampu meraih kejayaan di pentas Liga Juara-Juara Eropah bersama Juventus.

Kelmarin, bintang Portugal itu meraikan hari jadinya tatkala dia kini bergelar salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman.

Ronaldo telah memenangi kejuaraan tertinggi di England, Sepanyol dan Itali, menjulang trofi Liga Juara-Juara bersama Manchester United dan Real Madrid, menikmati status juara Kejohanan Eropah dan Liga Negara-Negara UEFA sewaktu memperkuatkan skuad kebangsaan Portugal di samping lima kali memenangi Ballon d'Or.

Pencapaian itu jelas sesuatu yang melebihi jangkaannya sewaktu memasang impian menjadi seorang pemain bola sepak.

"Umur 35 tahun? Saya fikir akan menjadi nelayan di Madeira," katanya kepada Canal 11.

"Ia tidak pernah berada dalam minda saya. Saya mahu menjadi pemain bola sepak profesional tetapi tidak terfikir mampu memenangi semua kejuaraan yang telah diraih."

Ronaldo menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali pertama pada musim 2007-08 sebelum empat kali menikmati kejayaan itu dalam tempoh lima tahun di di antara musim 2013-14 dan 2017-18 bersama Los Blancos.

Kempen pertamanya bersama Juve menyaksikan dia menjulang kejuaraan domestik, Serie A, tetapi tewas di tangan Ajax dalam suku akhir Liga Juara-Juara, sekali gus membuatkan impiannya menikmati kejayaan di peringkat Eropah terus membara.

"Beraksi di Juve memberikan saya peluang untuk memenanginya sekali lagi," tambahnya.

"Kami tahu ia sukar. Ia bergantung kepada beberapa faktor tetapi ia boleh diraih kerana kami pasukan yang bagus.

"Kami harus memulakan langkah untuk terus mara."




Editor: Nafis Abdullah

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen