Giorgio Chiellini memuji Cristiano Ronaldo dengan berkata bintang Juventus itu pergi ke satu tahap berbeza apabila dia bersaing dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Dalam mengejar gelaran Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 1996, Juve berada dalam pusingan 16 -- tewas 0-1 kepada Lyon dalam perlawanan pertama -- sebelum kejohanan itu ditunda gara-gara pandemik koronavirus.

Ronaldo, 35, menjadi pemain pertama memenangi lima kejuaraan Liga Juara-Juara ketika membantu Real Madrid pada 2018.

Chiellini berkata bintang Portugal itu meningkatkan tahapnya setiap kali beraksi dalam kejohanan elit peringkat Eropah itu.

"Cristiano melakukannya dengan baik biarpun masalah lutut memperlahankannya untuk sebulan setengah," katanya kepada Christian Vieri dalam satu perbualan Instagram Live.

"Dia mengubah cara permainannya berbanding ketika dia masih muda. Dia dipertingkatkan dengan perlawanan yang besar.

"Mungkin ketika menentang pasukan kecil, dia kelihatan lembut. Dengan kelab besar, dia amat hebat.

"Dalam Liga Juara-Juara, dia mula berubah. Dia dapat rasakan ia sedang hadir dan dia menghidupkan enjinnya," katanya.

Ronaldo telah menjaringkan 25 gol daripada 32 perlawanan buat Juventus musim ini, termasuk dua dalam tujuh perlawanan Liga Juara-Juara.