Sikap rendah diri dan tahap disiplin tinggi yang ditunjukkan Cristiano Ronaldo terhadap rakan sepasukannya di Juventus membuatkan Gianluigi Buffon teruja.

Ronaldo menyertai gergasi Serie A, Juve, tahun lalu selepas menamatkan tempoh sembilan tahun bersama Real Madrid sebelum menjulang gelaran Scudetto dalam musim sulungnya di Itali.

Ikon pasukan, Buffon, kembali ke Turin bagi menghadapi musim 2019-20 dan pantas memuji sikap rendah diri yang ditunjukkan salah seorang atlet terhebat dunia itu.

"Sewaktu saya menemui Ronaldo dalam sesi latihan, saya dapati dia seorang yang merendah diri," katanya.

"Saya sukakan disiplin dan hubungannya dengan rakan sepasukan. Selepas latihan, kami sering meluangkan masa berbual tentang aspek perlawanan.

"Saya dapati selain seorang pemain bola sepak, dia seorang yang baik hati."

Ronaldo menyertai Juve beberapa bulan selepas meneruskan penantian gergasi Itali itu di pentas Liga Juara-Juara Eropah apabila menyumbat tiga gol buat Real dalam dua pertemuan suku akhir dengan The Old Lady.

Perlawanan di Itali juga menyaksikan Ronaldo menghasilkan salah satu jaringan terbaik menerusi sepakan gunting yang menewaskan Buffon, sekali gus membuatkan penjaga gol itu teruja.

"Ia adalah salah satu detik di mana saya tidak bencikan sesiapa,"" tambahnya.

"Selepas 25 saat, apabila berasa kecewa, saya memikirkan tentang keindahan jaringan itu.

"Walaupun menjaringkan gol ketika berdepan kami, saya perlu akui bahawa dia melakukan sesuatu yang hebat.

"Apabila kami berjalan, saya bertanya kepadanya, 'Ronaldo, berapa umur awak?' Dia tersenyum dan menjawab, 'Saya 33 tahun, boleh tahan juga bukan?' Kemudian, kami ketawa."