Bekas bintang Brazil, Ronaldo, percaya perpindahan rekod dunia oleh Neymar ke Paris
Saint-Germain (PSG) pada musim panas lalu memiliki persamaan dengan kisahnya
ketika meninggalkan skuad Blaugrana.


Ronaldo menikmati satu musim yang cemerlang di Camp Nou selepas mencatat 34
jaringan menerusi 37 penampilan, sebelum membuat keputusan untuk berhijrah ke
Inter Milan bagi saingan 1997/1998.

Aksi Ronaldo di Barca membolehkannya dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Dunia
FIFA 1996 dan 1997. Namun, setelah gagal mencapai kata sepakat dalam rundingan
kontrak, Ronaldo berhijrah selepas Inter sanggup membayar klausa perpindahannya.

"Kisah Neymar tinggalkan Barca mirip dengan sejarah saya. Saya ke Inter ketika Serie
A lebih hebat berbanding Ligue 1 pada waktu sekarang.

"Saya tidak mempunyai sebarang maklumat terperinci dan tidak tahu mengenai
perbincangan yang melibatkan Neymar. Mungkin ada sesuatu yang tidak memuaskan
hatinya, sama seperti saya," katanya.

Sementara itu, Ronaldo yang bersara pada tahun 2011, kini mahu melibatkan dirinya
dengan operasi kelab dan tidak cenderung untuk beralih ke bidang kejurulatihan.

"Saya mencari pasukan untuk menjadi pengurus besar. Saya mahu mendapatkan
pengalaman itu, tidak kira di Brazil atau dimana-mana sahaja yang menjalankan
akademi bola sepak.

"Menjadi jurulatih sama sekali bukan pilihan saya. Saya tidak dapat membayangkan
setiap minggu akan ada 25 pemain yang mencuba semua perkara untuk menipu
saya," tambahnya.