Cristiano Ronaldo mungkin bergelar pemain AC Milan sekiranya pemilik kelab Serie A itu tiba lebih awal ketika musim panas lalu, kata pengarah sukan Rossoneri, Massimiliano Mirabelli.

Pemenang lima kali Ballon d'Or, Ronaldo, menamatkan tempoh hebat selama sembilan tahun bersama Real Madrid apabila memilih untuk berhijrah ke juara Itali, Juventus, Julai lalu.

Namun, Mirabelli mendakwa bintang Portugal itu bersedia untuk hadir ke San Siro sehingga pemilik sebelum ini, Li Yonghong, menyekat perpindahan itu disebabkan kawalan kelab oleh Elliot Management.

"Ada sesuatu yang telah kami bincangkan dengan Jorge Mendes (ejen Ronaldo)," kata Mirabelli.

"Kami tahu akan ada masalah dengan Ronaldo dan Madrid. Kami melakukan segalanya tetapi pemilik dari China menyekat perpindahan itu kerana ia tidak stabil.

"Bersama pemilik baru, Ronaldo mungkin telah bergelar pemain Milan."

Li melengkapkan pembelian Milan bernilai EUR730 juta (RM3.5 bilion) pada April 2017 dan telah memecat Vincenco Montella tujuh bulan kemudian.

Mirabelli berpendapat keputusan untuk mengekalkan Montella pada awal musim 2017/18 adalah sesuatu yang tepat dan mendedahkan perbincangan bersama Antonio Conte sebelum pelantikan Gennaro Gattuso.

"Kami tiba pada April 2017 dan melengkapkan musim yang rumit. Montella menjalankan tugas dengan baik. Bagi saya, dia berhak meraih peluang mengendalikan Milan semula. Mudah untuk berkata kami salah tetapi sebenarnya, dia berhak kekal," tambah Mirabelli.

"Saya bangga membuat keputusan melantik Gattuso kerana tahap profesional yang dipamerkan, serius dan rasa cinta yang ditunjukkannya bersama staf dalam setiap kerja.

"Pemilik dari China tidak bersetuju kerana berpendapat ia satu langkah yang mundur tetapi saya menerangkan bahawa Gattuso adalah pengendali bagus untuk masa depan. Dia telah bekerja di Greece, Serie C dan Serie B. Ia sesuatu yang positif.

"Kami mendengar penerangan Conte setelah berbincang. Ia satu perbualan yang tidak membawa kepada apa-apa perkara."