Cristiano Ronaldo menyertai sesi latihan bersama Juventus buat kali pertama semalam selepas tempoh rehat susulan aksi Piala Dunia.

Ronaldo melengkapkan perpindahan mengejut dari Real Madrid pada 10 Julai lalu menerusi yuran berjumlah EUR112 juta (RM532 juta) sebagai menamatkan tempoh sembilan tahun bersama gergasi Sepanyol itu.

Pemain berusia 33 tahun itu mengikut jejak langkah Zinedine Zidane yang meninggalkan Madrid untuk mencari cabaran baru selepas memenangi trofi Liga Juara-Juara Eropah buat kali ketiga berturut-turut di Santiago Bernabeu.

Kehadiran Ronaldi ke Itali bukan sahaja dianggap sebagai satu tarikan baru buat Juve tetapi merangkumi seluruh saingan Serie A tatkala ketibaannya sudah pasti menaikkan populariti liga yang semakin ketinggalan di belakakng Liga Perdana Inggeris, LaLiga serta Bundesliga jika dinilai pada kualiti kebelakangan ini.

Selepas tersingkir dalam pusingan kedua Piala Dunia bersama Portugal, Ronaldo diberikan tempoh rehat selama sebulan dan diraikan oleh sekumpulan besar penyokong di Turin, semalam.

Juve bakal berdepan bekas majikannya dalam saingan Piala Juara-Juara Antarabangsa pada Sabtu ini selepas bertemu barisan MLS All-Star pada Khamis, namun tidak pasti lagi sama ada Ronaldo sudah cergas untuk menyertai aksi berkenaan.

Dia dijangka akan melakukan penampilan sulung Serie A ketika perlawanan pembukaan pada 18 Ogos depan apabila Juve bakal menentang Chievo di tempat lawan.

Turut kembali menyertai sesi latihan juara Itali itu semalam adalah Gonzalo Higuain, Rodrigo Bentancur, Paulo Dybala, Douglas Costa dan Juan Cuadrado selepas mengharungi aksi di Russia.