Legenda Real Madrid, Roberto Carlos, menyifatkan sikap profesionalisme serta keazaman tinggi yang dimiliki Cristiano Ronaldo meletakkan dirinya pada tahap berbeza daripada Lionel Messi dan Neymar.

Bintang Portugal itu telah memenangi Ballon d'Or buat kali kelima dalam kariernya tahun ini selepas membantu Real Madrid menjuarai LaLiga, Liga Juara-Juara (UCL), Supercopa de Espana dan Piala Dunia Kelab.

Ronaldo terpaksa mengharungi musim yang sukar sejak permulaan musim 2017-18 bagi saingan domestik selepas hanya meledak empat gol dalam 12 penampilan manakala Messi menjadi tunjang Barcelona untuk mendahului LaLiga dengan kelebihan sembilan mata.

Tetapi Roberto Carlos percaya Ronaldo memiliki kelebihan jika dibandingkan dengan Messi dan bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar.

"Apabila anda membincangkan mengenai bola sepak, anda akan bercakap tentang Neymar, Messi dan Ronaldo," katanya.

"Ronaldo telah bekerja keras untuk meningkatkan mutu permainannya. Apabila bercakap mengenai Ballon d'Or atau anugerah lain, ia bukan mengenai siapa yang membuat undian, ia mengenai siapa yang berkaitan bola sepak, mengikuti perkembangan pemain-pemain ini untuk dipilih sebagai terbaik dunia.

"Saya melihatnya berlatih setiap hari dan ia amat mengujakan. Dia mahu memperbaiki permainannya setiap hari.

"Ia merupakan perbezaan dengan Messi. Messi adalah fenomena, kami tidak pernah bercakap mengenai Neymar... tetapi di sebalik apa yang dilakukan oleh Ronaldo, latihannya, sikap profesionalisme, fokus, motivasi dan kejayaannya, Ronaldo memiliki kelebihan ke atas semua pemain yang lain," ujarnya.

Walaupun Ronaldo masih lagi dilihat sebagai pemain utama di Santiago Bernabeu, Roberto Carlos menyokong bintang dalam pembikinan Brazil, Vinicius Junior, untuk menjadi pemain utama buat Real satu hari nanti.

Pemain berusia 17 tahun itu menandatangani kontrak dengan Real pada Mei lalu tetapi dijangka kekal bersama Flamengo hingga Julai 2019 sebelum berhijrah ke Sepanyol.

"Saya tidak akan berkata dia sudah bersedia kerana dia masih muda tetapi apa yang telah dilakukan oleh Real ialah berfikir mengenai masa depan kelab.

"Dia akan ke Eropah untuk menimba pengalaman baru, meningkatkan proses pembelajarannya sebagai pemain.

"Junior memiliki tanggungjawab besar untuk memastikan persembahannya meningkat setiap hari. Saya berharap dia akan menjadi idola Real satu hari nanti," katanya.