Cristiano Ronaldo masih sebahagian daripada skuad Portugal walaupun masih belum kembali menyertai pasukan itu, berdasarkan penjelasan ketua jurulatih, Fernando Santos.

Ronaldo, 33, kali terakhir mewakili pasukan negaranya ketika Piala Dunia Russia di mana pasukan itu disingkirkan Uruguay dalam pusingan 16.

Tanpanya, Portugal tetap layak ke pusingan akhir Liga Negara-Negara Eropah dengan menjadi pasukan pertama menempah slot itu selepas mengikat Itali seri 0-0 di Milan, awal pagi tadi.

Namun, Santos menjelaskan kedudukan pemain itu bersama pasukannya tidak patut dipersoalkan.

"Tidak syak lagi, jika anda masih mempunyai keraguan, saya tidak tahu.

"Cristiano Ronaldo adalah sebahagian daripada pasukan ini," katanya dalam sidang akhbar.

Ronaldo merekodkan jaringan (85) dan penampilan (154) tertinggi buat Portugal.

Hanya penyerang Iran, Ali Daei (109), merekodkan jaringan lebih tinggi daripadanya di peringkat antarabangsa.