Ronaldo: Manchester United tidak lakukan apa-apa untuk menang

Oleh Penulis Jemputan 8 November 2018 11110
Ronaldo: Manchester United tidak lakukan apa-apa untuk menang
Penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo, mendakwa Manchester United tidak melakukan apa-apa untuk menang selepas pasukan itu memperoleh dua jaringan di penghujung perlawanan yang menyaksikan Juventus tewas dengan keputusan 1-2 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.

Bintang Portugal itu membuka jaringan menerusi voli menarik pada minit ke-65, namun pemain gantian, Juan Mata, kembali mengikat kedudukan menerusi sepakan percuma lencong pada minit ke-86 sebelum Alex Sandro terjaring bola ke gawang sendiri, tiga minit selepas itu.

Ronaldo tidak tertarik dengan pendekatan United itu dan mendakwa Juve sepatutnya mendapatkan keputusan lebih baik sebelum dua jaringan tersebut.

"Kami mendominasi sepanjang 90 minit dan kami mempunyai tiga atau empat peluang untuk mematikan perlawanan. 

"Kami terlalu selesa dan kami dihukum," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Manchester United tidak melakukan apa-apa untuk menang.

"Kami tidak boleh bercakap tentang faktor nasib kerana kami perlu mencari nasib tersebut.

"Dalam hal itu, kami memberikan nasib kami kepada mereka.

"Kini, kami perlu mendongak kerana telah memberikan aksi terbaik dan masih lagi mendahului kumpulan," katanya lagi.

Juventus kini di kedudukan teratas Kumpulan H selepas mengumpul sembilan mata, dua mata di atas United di kedudukan kedua.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen