Cristiano Ronaldo berkata dia sekurang-kurangnya mahu memenangi tujuh Ballon d'Or sebelum bersara -- dan cuba untuk menambah bilangan ahli keluarganya.

Bintang Real Madrid itu merupakan pemain pilihan untuk memenangi anugerah itu buat kali kelima tahun ini selepas membantu pasukan meraih kejuaraan LaLiga dan Liga Juara-Juara (UCL) bagi musim 2016-17.

Pemain berusia 32 tahun itu yang telah memenangi trofi itu tahun lalu, dalam landasan terbaik untuk menyamai rekod Lionel Messi.

Tetapi Ronaldo, yang juga telah menerima cahaya mata keempat bersama teman wanitanya, Georgina Rodriguez, berkata dia mahu terus membina legasi di luar dan di atas padang.

"Saya kini sudah berusia 32 dan hampir mencecah 33 tahun. Bola sepak bukan satu-satunya dunia saya. Terdapat beberapa perkara lain yang penting.

"Saya menyedari bahawa undian masih lagi dilakukan, saya yakin mampu memenanginya tahun ini.

"Saya mahu mendapatkan tujuh anak, sama seperti sasaran saya untuk memenangi Ballon d'Or. Selagi saya mahu beraksi, saya akan tetapi berusaha untuk merangkulnya," katanya.

Ronaldo bergelut untuk menghasilkan persembahan terbaik bagi musim 2017-18 apabila sekadar meledak satu gol dalam tujuh aksi LaLiga manakala cemerlang dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) dengan enam gol dalam empat penampilan.

Bagaimanapun, bekas pemain Manchester United itu percaya kritikan terhadap prestasinya adalah tidak adil dan menegaskan permainannya bukan sahaja untuk meledakkan gol.

"Kami menghadapi musim yang baik. Bukan sempurna tetapi baik. Kami kehilangan beberapa mata penting dalam saingan liga. Dalam saingan UCL, kami berada pada tahap yang baik.

"Masih banyak lagi perlawanan yang harus dilalui. Kami perlu terus tenang dan mempamerkan aksi yang cemerlang," tambahnya.