Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, membalas kritikan terhadapnya dan terkejut dengan orang ramai yang sentiasa mahukannya membuktikan kebolehan.

Ronaldo menjaringkan dua gol ketika membantu Madrid menewaskan Borussia Dortmund dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi tadi, selepas gagal menyumbat sebarang gol dalam dua aksi terakhir LaLiga.

Bagaimanapun, Ronaldo, jelas tidak larat untuk menghadapi kritikan yang tidak pernah berhenti, sambil mengatakan dia telah membuktikan kemampuannya.

"Nampaknya, saya terpaksa membuktikan apa yang saya mampu lakukan dalam setiap perlawanan," kata Ronaldo selepas melakukan penampilannya yang ke-400 bersama Madrid.

"Saya terkejut dengan apa yang difikirkan orang ramai terhadap diri saya. Statistik dalam karier saya membuktikan segala-galanya dan saya adalah contoh kepada apa itu profesional.

"Kritikan pada hari ini semakin teruk," katanya lagi.

Gareth Bale membuka tirai jaringan dengan sepakan voli di Signal Iduna Park sebelum Ronaldo menambah dua lagi dalam babak kedua.

Ronaldo jelas gembira dengan kemenangan ke atas Dortmund di tempat lawan dengan berhujah: "Sebelum perlawanan, kami bercakap bahawa kami amat mahukan kemenangan di Dortmund.

"Kami berjaya melakukan apa yang diminta oleh jurulatih, pasukan berada dalam keadaan yag baik, mencipta peluang dan bukan mudah untuk menjaringkan tiga gol di sini.

"Kami bermain dengan baik," tambahnya.