Cristiano Ronaldo meledak empat gol ke gawang Andorra dalam aksi pertamanya bersama Portugal dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2018.

Ini merupakan penampilan pertama Ronaldo bersama skuad Portugal sejak membantu pasukan itu menjuarai Euro 2016 di Perancis, Jun lalu.

Skuad kendalian Fernando Santos tewas 2-0 berdepan Switzerland dalam aksi pertama Kumpulan B, namun mereka ketiadaan khidmat Ronaldo ketika itu.

Bintang Real Madrid itu -- yang diketepikan sejak mengalami kecederaan dalam final Euro 2016 -- menandakan kepulangannya dengan penuh gaya apabila empat golnya mengesahkan kemenangan 6-0 ke atas Andorra.

"Kami tahu pentingnya untuk kami mencari gol pembukaan berdepan pasukan yang bertahan dengan 11 pemain," katanya, yang merekodkan hatrik ke-42 dalam kerjaya.

"Saya dan pemain lain sedar kepentingan kami. Saya juga sentiasa bersedia untuk memberikan segala-galanya untuk skuad negara. Saya gembira dapat kembali selepas kecederaan itu.

"Ada lapan perlawanan lagi yang perlu ditempuh. Kami mahu memenangi kesemua lapan perlawanan untuk layak ke Piala Dunia."

Portugal bakal berdepan Kepulauan Faroe pada Isnin.