Penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo, mengakui bahawa kepulangannya ke Manchester United sentiasa istimewa, namun tidak akan memberikan sebarang kelonggaran buat bekas majikannya itu apabila kedua-dua pasukan berdepan di Old Trafford.

Menurutnya, Juventus mahu mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah itu awal pagi nanti ini.

Dua pencabar utama dalam kumpulan H itu memperoleh kemenangan dalam dua perlawanan pertama sebelum ini.

Ronaldo dilayangkan kad merah ketika kemenangan 2-0 ke atas Valencia dalam perlawanan pertama yang menyaksikan dia terlepas aksi menentang Young Boys selepas itu ekoran penggantungan perlawanan.

Bagaimanapun, bintang tersebut dapat kembali beraksi menentang bekas pasukannya.

Walaupun dalam prestasi berbeza dalam saingan domestik, Ronaldo enggan mengambil mudah cabaran yang akan diberikan skuad kendalian Jose Mourinho itu.

"Ia sentiasa istimewa untuk saya pulang ke Manchester," kata pemain antarabangsa Portugal itu kepada media.

"Saya mempunyai banyak kenangan di sini tentang kejayaan dan kasih sayang, khususnya kepada Alex Ferguson. Seorang yang amat saya kasihi. Seorang yang banyak membantu saya sebelum ini."

Berkenaan perlawanan yang dinanti-nantikan itu, Ronaldo menambah: "Ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Manchester United sebuah pasukan yang kuat, namun jika kami melakukan apa yang dirancang jurulatih, kami mampu meraih kemenangan.

"Bagaimanapun, kami tidak boleh memandang rendah lawan kami," ujarnya.

Walaupun Ronaldo akan menjadi tumpuan utama, dia menjelaskan fokusnya kini adalah memastikan kemenangan buat Juventus untuk melangkah ke pusingan berikutnya.

"Kami dalam kedudukan yang baik buat waktu ini dan kemenangan esok (awal pagi nanti) akan memastikan kami melangkah jauh," katanya.