MILAN 0 JUVENTUS 2

Cristiano Ronaldo mempertahankan Gonzalo Higuain selepas penyerang itu dilayangkan kad merah ketika AC Milan tewas 2-0 di laman sendiri kepada Juventus dalam saingan Serie A.


Higuain mengharungi perlawanan yang sukar selepas percubaannya menerusi sepakan penalti dinafikan penjaga gol, Wojciech Szczesny, sebelum diarah keluar padang di San Siro, semalam.

Penyerang kebangsaan Argentina itu terlibat dalam pertelingkahan dengan pengadil, Paolo Mazzoleni, selepas dilayangkan kad merah.

Tetapi Ronaldo, yang menjaringkan gol kedua ketika Juve mengatasi The Rossoneri, berkata Higuain tidak seharusnya dihukum terlalu berat.

"Saya memberitahunya supaya bertenang kerana berdepan risiko penggantungan yang lebih serius," kata Ronaldo.

"Dia tidak melakukan apa-apa, cuma kecewa kerana mengalami kekalahan dalam perlawanan ini. Saya berharap dia tidak dihukum dengan lebih teruk.

Juventus bangkit daripada kekalahan pertama musim ini di laman sendiri kepada Manchester United dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL).

Mario Mandzukic membuka jaringan sebelum Ronaldo meledak gol keenam dalam tujuh penampilan untuk meraih tiga mata buat Juve, sekali gus merakamkan rekod tanpa kalah dalam saingan Serie A sejak permulaan musim.

"Saya sangat gembira," kata Ronaldo. "Kami meraih kemenangan penting selepas Napoli tewas kepada Genoa.

"Kami bermain dengan cemerlang dan saya menjaringkan gol... Saya sangat gembira kerana dapat membantu Juventus."