Cristiano Ronaldo dan Paulo Dybala sudah mula bekerjasama selepas mempamerkan ketajaman mereka di depan gawang, kata ketua jurulatih Juventus, Maurizio Sarri.

Ronaldo dan Dybala, kedua-duanya mempamerkan gol gemilang ketika pasukan juara bertahan itu mengekalkan kelebihan empat mata di puncak Serie A selepas menewaskan Genoa 3-1 di Stadio Comunale Luigi Ferraris awal pagi tadi.

Terdapat persoalan sama ada Ronaldo dan Dybala boleh bekerjasama dalam kesebelasan utama Juve tetapi gandingan penyerang itu membintangi aksi di Genoa berkenaan.

Sarri memuji gandingan itu dengan berkata kepada Sky Sport Italia: "Sesuatu telah berubah daripada segi pergerakan tetapi mereka telah belajar untuk mencari satu sama lain dengan lebih kerap.

"Mereka telah sedar bahawa dengan memanfaatkan kelebihan satu sama lain, mereka akan mendapat kebaikan.

"Saya juga dapat melihatnya dalam sesi latihan," katanya.

Selepas penguasaan dalam babak pertama gagal membuahkan hasil, Dybala memecahkan kebuntuan pada minit ke-50 sebelum Ronaldo menjadikan kedudukan 2-0 menerusi percubaan jarak jauh gemilang berselang enam minit.

Pemain gantian Juve, Douglas Costa, kemudian melebarkan lagi kedudukan itu sebelum Andrea Pinamonti menjaringkan gol sagu hati buat Genoa pada minit ke-76.

Ronaldo menyamai rekod jaringannya dalam kesemua kejohanan musim lalu dengan menghasikan golnya yang ke-28 musim ini.

Pemenang lima kali anugerah Ballon d'Or itu telah menjaringkan 20 gol tahun ini, lebih banyak berbanding yang dihasilkan mana-mana pemain dalam LaLiga.

"Dalam babak pertama, dia melakukan lima percubaan, jadi ia bermakna dia melakukan lebih daripada yang sepatutnya," tambah Sarri.

"Cristiano bermain untuk membebaskan dirinya dan melakukan penyudah tetapi apabila dia memilih untuk membawa bola dengan pantas, dia antara yang terbaik.

"Sejujurnya, saya memilih untuk menggantikan Dybala, tetapi saya kemudian memilih Ronaldo, yang telah bermain terlalu lama.

"Kami sudah berbincang mengenainya beberapa hari lalu, dia tahu yang dia akan dikeluarkan selepas keputusan 3-0 dan dia melakukannya dengan tenang.

"Saya fikir pasukan ini telah melakukannya dengan baik, termasuk dalam babak pertama.

"Kami mempunyai peluang yang baik dan tidak dibolosi.

"Ia kerjasama sepasukan yang hebat dan kami menjaringkan tiga gol yang cantik," katanya.