Cristiano Ronaldo tidak akan terbabit dalam pertemuan aksi Piala Copa del Rey di antara Real Madrid dan Cultural Leonesa bagi memastikan dia berada di tahap 100 peratus untuk pertemuan Clasico dengan Barcelona.

Pertembungan hujung minggu ini di Camp Nou menawarkan peluang untuk Madrid melebarkan penguasaan di puncak LaLiga dengan sembilan mata.

Madrid merekodkan kemenangan 7-1 dalam pertemuan pertama dengan Cultural tanpa bintang mereka itu dan jurulatihnya, Zinedine Zidane, mengesahkan Ronaldo tidak akan diturunkan untuk pertemuan di Santiago Bernabeu itu.

"Perlawanan pada Rabu merupakan peluang buat Ronaldo mendapat rehat," kata Zidane dalam sidang media.

Jurulatih Madrid itu juga menegaskan bahawa kelab itu tidak akan mengambil mudah perlawanan itu selain mengesahkan Casemiro akan diturunkan selepas dua bulan tersisih akibat keretakan tulang kaki.

"Benar keputusan 7-1 adalah bagus untuk kami, tapi kami harus menghormati lawan dan peminat kami yang datang memberi sokongan," tambah beliau.

"Saya menganggap Cultural memiliki keyakinan tinggi. Mereka sebuah pasukan yang bagus dan mampu memcetuskan masalah.

"Casemiro akan mendapat peluang beraksi. Ini merupakan aksi pertamanya selepas tercedera, jadi kami akan memantaunya untuk menentukan aksinya pada Sabtu. Namun, dia sudah sedia diturunkan."