Cristiano Ronaldo dinobatkan sebagai Pemain Lelaki Terbaik Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk tahun kedua selepas membantu Real Madrid menjuarai La Liga dan Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.

Bintang Portugal itu mengalahkan Lionel Messi dan Neymar selepas turut memenangi anugerah sulung itu pada tahun lalu.

Kejayaan Ronaldo bersama Madrid pada musim lalu sangat penting dalam memastikan dia mendapat satu lagi penghargaan individu, dengan pemain berusia 32 tahun berkenaan menjaringkan 42 gol dalam semua pertandingan.

Pencapaian paling ketara ialah selepas Madrid menjadi kelab pertama mengekalkan kejuaraan Liga Juara-Juara sejak 1992 dan mereka juga merampas mahkota domestik daripada pesaing kuat, Barcelona.

Gol Ronaldo memberi impak dalam kedua-dua kejohanan, dengan 25 gol La Liga menjadikannya penjaring ketiga terbanyak di belakang Messi dan Luis Suarez, sementara dia juga menjaringkan 12 gol dalam 13 perlawanan Liga Juara-juara, termasuk dua gol ketika menentang Juventus dalam final di Cardiff.

Bercakap selepas menerima anugerah itu di London Palladium, Ronaldo lantas memberi penghormatan kepada Messi dan Neymar yang duduk bersamanya di barisan depan dalam majlis itu.

"Terima kasih tidak terhingga kepada semua yang mengundi saya. Saya mesti menyebut Leo (Messi) dan Neymar kerana berada di sini," katanya.

"Real Madrid -- jurulatih, penyokong dan presiden -- mereka menyokong sepanjang tahun, jadi saya merakamkan penghargaan kepada mereka.

"Saya sangat gembira memenangi anugerah ini berturut-turut. Ini adalah masa yang hebat untuk saya. Terima kasih kepada semua peminat di seluruh dunia kerana menyokong saya. Terima kasih, terima kasih banyak.

"Ia hebat berada di sini bersama pemain hebat ini dan saya sangat gembira, terima kasih banyak."

Walaupun musim Messi tidak diiktiraf secara individu, wira Barcelona itu menikmati kempen yang luar biasa pada tahap peribadi, menjaringkan 54 gol dalam 52 perlawanan dalam semua pertandingan, ditambah 16 bantuan gol.

Messi menduduki tempat kedua di belakang Ronaldo buat tahun kedua berturut-turut, sementara bekas penyerang Manchester United itu juga menjadi pemain pilihan untuk Ballon d'Or 2017 setelah menerima penghormatan itu tahun lalu.

Neymar menggantikan Antoine Griezmann untuk berada dalam kelompok tiga teratas, dengan pemain Brazil itu telah beralih dari Barcelona untuk ke Paris Saint-Germain (PSG) dengan yuran rekod dunia €222 juta (RM1 bilion) pada Ogos lalu.

Madrid mendominasi malam anugerah, dengan bos, Zinedine Zidane, dinobatkan sebagai Jurulatih Lelaki Terbaik FIFA dan Sergio Ramos, Marcelo dan Toni Kroos menyertai Ronaldo dalam senarai FIFPro XI FIFA 2017.

Pemain veteran Juventus, Gianluigi Buffon, dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik FIFA dan juga membarisi pasukan impian, sementara penyerang Arsenal, Olivier Giroud, meraih Anugerah Puskas untuk gol terbaik tahun ini -- voli luar biasa ketika menentang Crystal Palace pada Januari lalu.

Belanda yang mengharungi kempen mengagumkan dalam Euro 2017 menyaksikan mereka menguasai anugerah wanita, dengan Sarina Wiegman meraih Jurulatih Wanita FIFA Terbaik dan Lieke Martens memenangi hadiah pemain terbaik.