"Cristiano, saya benci kamu!". Itulah yang diucapkan Antoine Griezmann secara berseloroh kepada Cristiano Ronaldo selepas berakhirnya Kejohanan Euro 2016.

Portugal mengecewakan Perancis apabila mengatasi tuan rumah kejohanan itu dengan kemenangan 1-0 dalam masa tambahan final pada Julai lalu.

Ketua pasukan Portugal dan bintang Real Madrid, Ronaldo, dikeluarkan pada separuh masa pertama akibat kecederaan. Namun, dia masih mampu menafikan impian seterunya dari Atletico Madrid itu untuk menjulang trofi antarabangsa.

Ronaldo mendedahkan kepada majalah bola sepak France Football dengan berkata: "Ia melucukan.

"Ini kerana selepas perlawanan, semasa bercuti di Miami, saya terserempak dengan Antoine Griezmann di sebuah restoran di mana dia sedang menikmati makan malam bersama tunangnya.

"Dia datang ke meja saya dan berkata sambil mengukir senyuman nakal: 'Cristiano, saya benci kamu!'"

Perancis dianggap pilihan kejohanan selepas Portugal gagal mempamerkan persembahan yang meyakinkan dalam laluan mereka ke final.

Begitupun, Portugal meraih kejuaraan menerusi jaringan kemenangan Eder dalam masa tambahan di Paris untuk menghadiahkan trofi pertama buat negaranya.

"Saya percaya ketenangan adalah kunci kepada segalanya. Kami sedar kami memiliki kelebihan kerana dianggap bukan pilihan," tambah Ronaldo.

"Semasa saya memanaskan badan, saya berpendapat Perancis kelihatan agak tenang. Mereka banyak tersenyum. Mereka mempunyai hak untuk tersenyum, tapi mereka kelihatan terlalu gembira.

"Perancis menganggap mereka mampu memenangi perlawanan dengan mudah -- sekurang-kurangnya itulah reaksi yang kami lihat."

Ronaldo kembali menghantui Griezmann minggu lalu dengan meledak hatrik apabila pendahulu LaLiga itu membenam Atletico 3-0 dalam aksi 'derby'.