Ronaldo cedera ketika Juventus diikat Lazio 

Oleh Shaiful Shamsudin 8 November 2020 1239
Ronaldo cedera ketika Juventus diikat Lazio 
LAZIO 1 JUVENTUS 1 

Cristiano Ronaldo dibelenggu masalah pergelangan kaki dan gagal meneruskan perlawanan ketika Juventus terpaksa berpuas hati diikat Lazio 1-1 menerusi jaringan Felipe Caicedo pada minit akhir, sebentar tadi. 


Bintang Portugal, Ronaldo membuka tirai jaringan selepas 15 minit permainan di Stadio Olimpico, sekali gus memahat gol ketiga peribadi dalam empat perlawanan awal Serie A musim ini bagi mengulangi pencapaian musim 2009-10 dan 2014-15.

Dengan 27 gol sepanjang 2020, tiada seorang pun dalam kalangan lima liga teratas Eropah yang mencetak gol sebanyak itu, tetapi dia gagal menyudahkan baki 14 minit aksi yang menjadi titik tolak kepada perlawanan tersebut.

Menjelaskan mengapa anak buahnya itu -- yang dilihat terhincut-hincut ketika menuju ke bangku simpanan -- ketika dikeluarkan, pengendali Juve, Andrea Pirlo, berkata kepada DAZN: "Ronaldo merupakan tunjang utama, bukan untuk kami sahaja tetapi buat semua pasukan yang diwakilinya. Dia mengalami masalah pergelangan kaki dan dia terpaksa dikeluarkan.

"Mereka yang dimasukkan juga beraksi dengan baik tetapi kami menghadapi masalah untuk mengekalkan penguasaan bola dan menyusun gerakan tertentu."

Ronaldo melepaskan tiga percubaan daripada lima rembatannya selain satu usahanya singgah di tiang tatkala juara bertahan itu berusaha mengekori rapat pendahulu, Milan, yang berkelebihan tiga mata menjelang pertembungan dengan Verona selepas ini. 

Bianconeri belum tewas dalam tujuh perlawanan buat kali kelapan dalam 10 musim terakhir, namun Pirlo tetap memberi amaran kepada pasukannya bahawa gelaran boleh diputuskan melalui situasi seperti jaringan penyamaan pada lewat perlawanan. 

"Kami mempamerkan corak permainan yang hebat, mereka sama sekali tidak dapat melancarkan sebarang percubaan tepat," tambahnya.

"Kejuaraan akan dimenangi sekiranya kami mengekalkan setiap perincian, kami kerap tersilap ketika melakukan hantaran dalam 10 minit terakhir yang membolehkan pihak menjaringkan gol penyamaan."

Lazio tidak dapat mempertaruhkan penyerang utama, Ciro Immobile, termasuk Lucas Leiva dan Thomas Strakhosha tanpa memberikan sebarang penjelasan dan ia dikhuatiri ada kena mengena dengan COVID-19.

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen