Pemain tengah Juventus, Miralem Pjanic, memuji sifat tenang bintang baru pasukannya, Cristiano Ronaldo, sambil menyatakan penyerang itu mempelajarinya daripada legenda Manchester United, Paul Scholes.

Ronaldo diiktiraf sebagai pemain terbaik sepanjang zaman dengan lima anugerah Ballon d'Or, lima kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah serta kejuaraan Euro 2016 yang merupakan sebahagian daripada 26 piala yang telah dimilikinya.

Pemain berusia 33 tahun itu merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Real Madrid sebelum menyertai juara Serie A, Juventus, dengan yuran perpindahan EUR112 juta (RM537 juta).

Pjanic mendedahkan betapa Scholes memberi impak besar buat Ronaldo sewaktu dia menghabiskan enam musim bersama bekas pemain tengah Manchester United itu sejak tiba selaku pemain muda berpotensi pada 2003.

"Jika anda membandingkan Ronaldo ketika dia berada dalam pasukan Manchester United dengan ketika dia menjadi pemain terbaik dunia, anda dapat lihat betapa banyak dia berubah.

"Permainannya kini semakin kukuh," kata Pjanic kepada The Guardian selepas Ronaldo menjaringkan gol kelimanya dalam saingan Serie A yang membantu Juventus mengikat seri Genoa 1-1, semalam.

"Saya banyak membaca tentang apa yang Ronaldo katakan tentang Paul Scholes dan bagaimana cara dia berlatih.

"Semua orang memperkatakan tentang Scholes yang sungguh luar biasa, namun itu semua terhasil dengan kerja keras.

"Dengan mengekalkan ketenangan, dia membuat dirinya menjadi istimewa. Saya berasakan Ronaldo mempelajarinya daripada dia."

Bercakap mengenai dirinya sendiri, pemain kebangsaan Bosnia-Herzegovina itu berkata: "Saya bukan seorang pemain yang mampu melakukan aksi-aksi menarik. Saya tidak berminat dengan itu.

"Saya lebih sukakan permainan yang mudah kerana ia menjadikan sukan ini begitu indah.

"Permainan yang mudah lebih sukar untuk dihasilkan, bukan semua orang mampu melakukannya," tambah Pjanic.