Presiden Real Madrid, Florentino Perez, mengisytiharkan Cristiano Ronaldo akan memenangi Ballon d'Or mengatasi Lionel Messi.

Bintang Portugal itu, yang memenangi anugerah Pemain Terbaik FIFA buat kali kedua, bulan lalu, dilihat sebagai pilihan untuk memenangi Ballon d'Or buat kali kelima selepas melakar kejayaan menjuarai LaLiga dan Liga Juara-Juara (UCL).

Terdapat khabar angin yang menyatakan penyerang Barcelona, Messi, akan diangkat sebagai pemenang pada 7 Disember ini selepas gambar pemain itu berada di muka depan majalah yang semakin tular di media sosial.

Bagaimanapun, laporan di Sepanyol minggu ini mencadangkan Ronaldo telah diberitahu akan memenangi trofi itu buat kali kelima dan Messi turut mengucapkan tahniah di atas kejayaannya.

Perez tidak meragui pemain berusia 32 tahun itu akan memenanginya selepas undian dikeluarkan nanti.

"Ronaldo merupakan salah seorang pemain terbaik kami," katanya. "Dia adalah penjaring terbanyak dalam sejarah kelab. Bulan lalu, dia telah memenangi anugerah Pemain Terbaik FIFA dan minggu ini, dia akan memenangi Ballon d'Or buat kali kelima," hujahnya.

Ronaldo bergelut mencari sentuhan dalam saingan LaLiga, menjaringkan dua gol dalam sembilan penampilan serta kecewa sekali lagi apabila seri tanpa jaringan ketika bertemu Athletic Bilbao.

Keputusan itu menyaksikan Real gagal untuk mengambil kesempatan merapatkan jurang dengan Barcelona yang seri 2-2 dengan Celta Vigo.

Tetapi Perez menegaskan ketua jurulatih, Zinedine Zidane, adalah pilihan terbaik untuk menerajui pasukan selepas meraih dua kejuaraan UCL dan meraih kejuaraan liga.

"Kami telah berjaya mencipta kejayaan yang mustahil, mempertahankan gelaran UCL dan memenanginya tiga kali dalam tempoh empat tahun.

"Kami akan terus memasang impian bersama-sama jurulatih yang berpengalaman. Beliau juga merupakan salah seorang pemain terbaik pasukan. Zidane adalah yang terbaik untuk pasukan ini," katanya lagi.