Keyakinan Zinedine Zidane terhadap Cristiano Ronaldo terbukti berbalas apabila bintang Portugal itu menjaringkan hatrik dalam kemenangan 4-1 Real Madrid ke atas Alaves.

Pengurus Madrid itu menyokong Ronaldo sebagai pendahulu yang jelas untuk meraih anugerah Ballon d'Or minggu ini di sebalik hanya mampu menyumbat satu gol dalam lima perlawanan liga terakhir, dan dia memimpin gerakan di Vitoria ketika pasukan pendahulu itu bangkit untuk menang dengan selesa.

Deyverson, yang menjaringkan gol ketika menentang Barcelona, September lalu, mengeksploitasi pertahanan kucar-kacir Madrid untuk memberikan Alaves pendahuluan awal tapi dia juga menyebabkan gol penyamaan lawan, dengan memberikan sepakan penalti yang disempurnakan Ronaldo.

Ronaldo, yang direhatkan dalam kemenangan 7-1 dalam saingan Copa del Rey ke atas Cultural Leonesa, Rabu lalu, meledak lagi selepas setengah jam permainan dengan satu percubaan jarak jauh yang terbias.

Walaupun Fernando Pacheco menyelamatkan sepakan penalti kedua Ronaldo, pasukan pelawat kemudian menggandakan tekanan, dengan Alvaro Morata menjaringkan gol ketiga.

Ronaldo kemudian bangkit daripada kegagalan sepakan penaltinya dengan satu lagi penyudahan cemerlang hasil lorongan Marcelo sambil Madrid memanfaatkan keputusan seri 1-1 Sevilla di Sporting Gijon, untuk berkelebihan tiga mata di tangga teratas untuk sekurang-kurangnya beberapa jam.

Ia adalah hatrik ke-43 Ronaldo dalam kariernya dan yang ke-31 dalam 243 penampilannya dalam La Liga.