Cristiano Ronaldo akan bermain sebagai kesebelasan utama dalam "Derby della Mole" bertemu Torino, awal pagi esok, namun pengendali Juventus, Massimiliano Allegri, gusar dengan beban kerja yang digalas penyerangnya itu.

Ronaldo seperti sudah menyesuaikan diri dengan kehidupan bersama juara Serie A itu.

Dia menjaringkan 10 gol dalam 15 pertemuan penting buat Juve untuk mereka kini berkelebihan lapan mata di puncak liga.

Namun, Allegri melihat kepada kemungkinan untuk merehatkan penyerang berusia 33 tahun itu selepas pertemuan dengan Torino bagi memberi ruang buat pemain itu memulihkan tenaga.

"Cristiano akan direhatkan dalam salah satu perlawanan menentang AS Roma, Atalanta atau Sampdoria.

"Pertemuan 'derby' ini terlalu penting.

"Torino merupakan pasukan yang baik dan kami perlu mengekalkan aksi yang baik untuk terus mendominasi liga.

"Ia merupakan permulaan sebelum tempoh sibuk menjelang waktu rehat pertengahan musim ini.

"Jadi, kami memerlukan tenaga yang secukupnya," katanya.

Allegri sedar Juve kini tidak berada dalam kondisi terbaik selepas tewas kepada Young Boys dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah, Khamis lalu.

Dia memberikan jaminan pertahanan veteran, Giorgio Chiellini, akan kembali beraksi di depan penjaga gol utama, Mattia Perin.

"Chiellini akan kembali di bahagian pertahanan tengah.

"Mattia De Sciglio akan bermain di bahagian kanan, Alex Sandro pula di bahagian kiri.

"Sekarang saya cuma perlu memilih di antara Leo Bonucci dan Daniele Rugani (pertahanan tengah).

"Chiellini sudah banyak meningkat.

"Dia kini merupakan salah seorang pertahanan terbaik dunia," tambahnya.