Pemain legenda Brazil, Ronaldinho, akan menawarkan khidmatnya untuk beraksi bersama Chapecoense bagi mengisi kehilangan 19 pemain yang terbunuh susulan nahas kapal terbang, Selasa lalu.

Pemain dan pegawai Chapecoense adalah antara 71 individu yang terkorban apabila kapal terbang yang membawa kelab Brazil itu ke Colombia bagi aksi final pertama Copa Sundamericana berdepan Atletico Nacional, terhempas di Cerro Gordo, La Union.

Persatuan Bola Sepak Brazil telah pun meminta Chapecoense untuk menamatkan musim mereka dalam saingan Campeonato Brasileiro sebagai penghormatan terakhir.

Presiden Chapecoense, Ivan Tozzo, sebelum ini mengakui masih gusar dengan permintaan tersebut susulan tidak mempunyai pemain yang cukup meskipun kelab gergasi di Brazil dilaporkan bersedia meminjamkan pemain secara percuma bagi membantu kelab itu mengharungi perlawanan terakhir musim ini berdepan Atletico Mineiro.

Bekas bintang Barcelona, Ronaldinho, bertekad untuk membantu kelab itu dengan apa cara sekalipun meskipun perlu kembali ke Brazil selepas meninggalkan Fluminense tahun lalu.

"Semua orang terkesan dengan apa yang berlaku," kata ejen pemain itu, Roberto Assis.

"Ini adalah saat yang sukar untuk seluruh rakyat Brazil tetapi ia sudah berlaku.

'Kami akan cuba membantu, saya tidak pasti sama ada Ronaldinho akan membantu untuk turun bermain atau sebagaimananya. Jika kami dihubungi, kami bersedia untuk membantu.

"Ronaldinho merupakan pemain yang diminati ramai. Dia juga mampu menjadi calon sesuai untuk membantu Chapecoense. Tetapi perkara yang penting ketika ini adalah membantu keluarga mangsa."