Ronaldinho sedia membantu kelab Chapecoense berikutan tragedi nahas kapal terbang yang mengorbankan nyawa anggota pasukan itu, namun ejen kepada legenda Brazil tersebut masih belum pasti sama ada dia akan mewakili kelab itu.

Pasukan dan pemain di serata dunia menawarkan bantuan terhadap kelab Brazil itu yang kehilangan pemain, kakitangan dan pegawai akibat korban nahas yang meragut 71 orang itu ketika mereka dalam penerbangan untuk menghadapi pertemuan pertama perlawanan akhir Copa Sudamericana bertemu Atletico Nacional, minggu lalu.

Bekas pemain tengah Fluminense, Atletico Mineiro, Flamengo dan Gremio itu -- yang juga merupakan Pemain Terbaik Dunia sebanyak dua kali -- dikaitkan akan membantu kelab itu dan akan terus komited untuk menghulurkan bantuan, menurut abang kandung merangkap ejennya, Roberto Assis.

"Kami perlu menangani isu ini dengan penuh rasa hormat terhadap keluarga dan kelab ini," kata Assis kepada Goal ketika pemenang Piala Dunia 2002 itu masih mempertimbangkan tawaran dari Eropah, Amerika Selatan, Amerika Syarikat dan China.

"Kami sedia membantu, tapi kami tidak tahu bagaimana.

"Seperti rakyat Brazil yang lain dan seluruh dunia, kami masih berduka. Kami mempunyai hubungan dengan ramai pihak yang berada di dalam pesawat itu, Saya sangat sedih dan berharap keamanan dan ketenangan akan membantu keluarga untuk mengharungi tempoh sukar ini."

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF), Walter Feldman, mendedahkan rundingan sedang dijalankan untuk mengadakan perlawanan yang menemukan Brazil dan Colombia pada Januari depan bagi membantu mangsa bencana kapal terbang Chapecoense.