Jurulatih AS Roma, Eusebio Di Francesco, mempertahankan penggempur, Edin Dzeko, untuk mengatasi ketumpulannya di depan gawang.

Dia telah meledak lapan gol dalam Serie A musim ini, namun sejak Oktober lalu, pemain berusia 31 tahun itu hanya merakamkan satu gol dalam kemenangan 3-1 ke atas SPAL, 1 Disember lalu.

Roma akan bertandang ke Juventus, awal pagi esok, dan ia merupakan perlawanan ideal untuk Dzeko mengakhiri kemarau golnya dan kini menghuni tangga keempat, tiga mata di belakang pasukan bimbingan Massimiliano Allegri itu.

Di Francesco berasakan Dzeko hanya menunggu masa untuk kembali meledak dengan Patrik Schick merupakan alternatif penyerang yang menarik.

"Dia memiliki keinginan tinggi untuk menjaringkan gol, bersikap positif dan keinginan besar untuk membantu dirinya sendiri," kata jurulatih Roma itu.

"Dia tidak mempunyai kebimbangan dan penderitaan kerana kurang mencetak gol, apa yang saya pasti, ia akan datang kerana dia mempunyai bakat.

"Schick, seperti yang anda lihat, berkembang daripada segenap aspek dan ia mendorong saya untuk menurunkan dan mempertaruhkannya untuk memburu gol.

"Dia mempunyai bakat fizikal, bukan hanya teknikal. Dia seorang yang matang dan sedang meningkat tetapi dia belum lagi seorang jaguh."

Dalam lawatan itu, Roma akan berdepan beberapa pemain biasa yang ditemui selepas Allegri mengesahkan Wojciech Szczesny akan menggantikan penjaga gawang yang tercedera, Gianluigi Buffon, dan Mehdi Benatia akan memperkuatkan pertahanan sementara bekas pemain tengah Giallorossi, Miralem Pjanic, berkemungkinan tampil di bahagian tengah.

Media Itali kerap memainkan sentimen bekas anggota skuad Roma, Di Francesco, menjelang pertemuan itu, bagaimanapun dia tidak percaya ia relevan.

"Saya tidak berminat dengan apa yang mempengaruhi pemikiran pemain -- ketika saya memilih untuk datang ke Roma sebagai pemain, saya mewujudkan ikatan hubungan yang istimewa dengan orang di sini," kata Di Francesco.

"Saya boleh mengatakan bahawa saya juga mempunyai peluang untuk pergi dan mewakili Juventus tetapi saya memilih Roma.

"Juventus adalah sebuah kelab besar tetapi bagi saya, adalah sesuatu yang luar biasa untuk mencapai sesuatu dengan Roma. Saya tidak berminat dengan pendapat orang lain -- saya hanya akan memberi tumpuan kepada diri sendiri.

"Saya ingin mengubah mentaliti orang, membuat keputusan awal dan memperbaiki persekitaran yang ada di sini -- ini sesuatu yang mudah dipersalahkan kerana terdapat kekurangan.

"Kami harus memperbaiki banyak masalah. Juventus sepatutnya menjadi contoh bagaimana untuk menjadi sebuah kelab yang hebat tetapi adalah sangat bagus untuk melakukannya di mana matahari menyinar dan kami mempunyai penyokong yang hebat."