ROMA 3 CHIEVO 1

Roma bangkit untuk menjamin kemenangan penting 3-1 dalam aksi Serie A bertemu Chievo bagi perlawanan terakhir mereka dalam kalendar 2016.


Jonathan de Guzman menyumbat gol pertama perlawanan pada minit ke-37, namun Stephan El Shaarawy menyamakan kedudukan dalam masa kecederaan separuh masa pertama menerusi sepakan percuma.

Edin Dzeko kemudian memanfaatkan peluang dari jarak dekat selepas permainan bersambung sebelum sepakan penalti Diego Perotti pada lewat permainan memastikan Roma menamatkan saingan Serie A tahun ini di tangga kedua, empat mata di belakang pendahulu semasa, Juventus, yang bermain kurang satu perlawanan.

Anak buah Luciano Spalletti memberi amaran awal apabila sepakan percuma Bruno Peres mengenai palang gol, namun De Guzman -- yang memakai jersi nombor 1 -- membuatkan tuan rumah tergamam apabila menanduk masuk bola hantaran lintang Mariano Izco untuk meletakkan Chievo di hadapan.

Seluruh isi Stadio Olimpico terkejut dengan gol itu, namun Roma kembali memberikan saingan selepas El Shaarawy meledak gol sepakan percuma dari jarak 20 ela.

Tujuh minit selepas permainan bersambung, Dzeko menyudahkan peluang dari jarak dekat untuk meletakkan Giallorossi di hadapan.

Dia hampir menggandakan jaringannya, namun percubaannya dipatahkan ketika hanya berdepan dengan penjaga gol, Stefano Sorrentino, dalam situasi satu lawan satu.

Roma, bagaimanapun, memperolehi gol ketiga pada masa kecederaan, apabila Perotti dengan yakin menyempurnakan sepakan penalti selepas dia dijatuhkan oleh Filippo Costa.