Rodrygo Goes berkata sungguh menyedihkan apabila dia tidak dapat beraksi di samping Cristiano Ronaldo dan tidak mahu dilihat sebagai pengganti legenda Real Madrid itu.

Pemain berusia 18 tahun itu memberi impak pantas di Santiago Bernabeu sejak tiba daripada Santos menerusi perjanjian bernilai EUR45 juta (RM205 juta) yang dicapai tahun lalu apabila menjaringkan lima gol dalam enam penampilan.

Rodrygo telah dibandingkan dengan Ronaldo, yang merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman buat kelab itu dengan 450 gol sebelum berhijrah ke Juventus pada Julai 2018.

Namun, penggempur muda itu -- yang bakal meraih penampilan pertama bersama skuad senior Brazil dalam aksi persahabatan menentang Argentina, Jumaat ini -- berjaga-jaga dengan harapan tinggi yang diberikan itu.

"Beraksi di samping Ronaldo di Real Madrid merupakan impian saya dan menyedihkan apabila dia meninggalkan pasukan kerana saya fikir sukar untuk bermain dengannya," katanya.

"Saya masih muda untuk bercakap tentang mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain seperti Ronaldo, salah seorang pemain terhebat dalam sejarah kelab, jika bukan yang terbaik.

"Saya tidak mahu membebankan diri dengan tekanan menggantikan Ronaldo."

Rodrygo menghasilkan gol selepas 93 saat meraih penampilan pertama buat Madrid sewaktu menundukkan Osasuna 2-0, September lalu dan mencipta hatrik dalam kemenangan 6-0 ke atas Galatasaray bagi saingan Liga Juara-Juara Eropah minggu lalu.

Pemain muda itu pantas menarik perhatian di ibu negara Sepanyol itu tetapi terkejut bagaimana kariernya berkembang begitu cepat.

"Anda sentiasa cuba untuk mempersiapkan diri agar segalanya berjalan lancar tetapi saya tidak pernah membayangkan semuanya begitu pantas," tambahnya.

"Ia mengejutkan saya. Hanya beberapa detik sebelum ini, saya berharap dapat mencipta penampilan dalam Liga Juara-Juara dan mungkin menjaringkan satu gol.

"Menghasilkan hatrik pastinya tiada siapa yang jangkakan. Jadi, saya tidak boleh jelaskannya selepas perlawanan. Apa yang boleh saya lakukan adalah menikmati detik istimewa itu yang berlaku sekali dalam hidup."