Zinedine Zidane berhasrat untuk menggunakan Rodrgyo Goes sebagai pusat serangan Real Madrid selepas pemain remaja itu menyumbat gol dalam aksi pengenalannya, semalam.

Rodrygo, yang muncul salah seorang daripada empat muka baru Madrid yang mengalami kekalahan kepada Bayern Munich dalam Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) 2019 di samping Eden Hazard, Luka Jovic dan Ferland Mendy, menggegar gawang melalui sepakan percuma pada lewat permainan yang menyaksikan barisan asuhan Zidane itu tumbang 1-3 di Houston.

Selepas perlawanan, bekas pemain Santos itu dipetik oleh Marca sebagai berkata: "Zidane (pengurus Madrid) mahu saya bermain lebih ke tengah.

"Kebiasaannya saya lebih kerap beroperasi di bahagian sayap tetapi itulah yang dikehendaki jurulatih, saya selesa dan seronok dengan kedudukan itu."

Pemain berusia 18 tahun itu, bagaimanapun, tidak pasti adakah akan kerap diberi peluang dalam musim pertamanya di Sepanyol.

"Saya tidak pasti sama ada saya akan bermain dalam pasukan utama, itu terpulang kepada Zidane dan kakitangannya untuk memutuskan situasi terbaik untuk menggunakan saya," katanya.

Membincangkan gol sulungnya yang luar biasa, Rodrygo berkata: "Saya selalu mengambil sepakan percuma di Santos. Itulah sebabnya saya minta untuk mengambilnya."