Rodrygo puas raih impian cipta hatrik

Oleh Staff Writer 7 November 2019 250
Rodrygo puas raih impian cipta hatrik
REAL MADRID 6 GALATASARAY 0

Rodrygo Goes berkata dia berkembang lebih pantas daripada sangkaannya di Real Madrid selepas menyumbat hatrik ketika berdepan Galatasaray dalam aksi yang disifatkan sebagai memenuhi impiannya di pentas Liga Juara-Juara Eropah.


Real membelasah wakil Turki itu 6-0 di Santiago Bernabeu awal pagi tadi sambil Rodrygo mencatat hatrik serta satu bantuan gol untuk Karim Benzema.

Pemain berusia 18 tahun itu membuka akaun jaringan dalam Liga Juara-Juara dengan penuh bergaya -- setelah dua jaringannya hadir dalam tempoh tujuh minit pertama -- tatkala dua gol Benzema bermakna dia telah menikmati 50 gol dalam kejohanan dan Sergio Ramos menyempurnakan sepakan penalti untuk melengkapkan malam gemilang buat tuan rumah.

Rodrygo hanya meraih penampilan dalam kesebelasan utama buat kali keempat sejak melengkapkan perpindahan bernilai EUR45 juta (RM206 juta) daripada Santos tetapi dia telah memiliki lima gol serta dilihat semakin selesa bersama barisan bintang dalam pasukannya.

"Benar, segalanya lebih pantas berbanding apa yang saya jangkakan apabila tiba di sini," katanya.

"Ia satu malam yang menggembirakan. Satu impian menjadi kenyataan apabila mendengar peminat di Bernabeu menyanyikan nama anda.

"Namun, saya perlu tenang dan terus berusaha setiap hari."

Rodrygo menerima penghormatan daripada rakan sepasukannya apabila menandatangani bola yang diterima susulan hatrik dan turut memuji kualiti yang dimiliki rakan penggempur, Benzema, yang membuka ruang untuk jaringan ketiganya bagi membalas bantuan jaringan yang dilakukan pemain dari Brazil itu sebelum itu.

"Beraksi dengan Benzema membuatkan semuanya menjadi mudah. Dia seorang pemain hebat dan saya gembira beraksi bersamanya.

"Saya pasti apa yang mereka letakkan di bola adalah sesuatu yang baik kerana rakan sepasukan saya amat bagus. Mereka memberikan keyakinan kepada saya."

Skuad kendalian Zinedine Zidane itu kini di landasan terbaik untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 daripada Kumpulan A.

Mereka kini menduduki tangga kedua, lima mata mengatasi Club Brugge yang berada di tangga ketiga tatkala saingan berbaki dua perlawanan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen