AJAX 0 VALENCIA 1

Rodrigo Moreno menyifatkan kemenangan Valencia ke atas Ajax untuk layak ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah sebagai satu keajaiban.


Penyerang kebangsaan Sepanyol itu muncul satu-satunya penjaring ketika pasukannya meraih kemenangan 1-0 di Amsterdam awal pagi tadi, yang melayakkan Valencia ke pusingan seterusnya dengan menyingkirkan pasukan yang ke separuh akhir musim lalu itu.

Rodrigo, yang pasukannya mempertahankan kelebihan satu gol itu walaupun Gabriel dilayangkan kad merah, memuji usaha Valencia.

"Kami berusaha keras ketika menentang Chelsea tetapi tidak dapat menyudahkannya, namun pasukan ini tidak pernah penat untuk melakukan keajaiban dan kami dapat melakukannya malam ini," katanya seperti yang dipetik UEFA.com.

Jaringan pada minit ke-24 itu membawa Valencia ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak musim 2012-13.

Pemain berusia 28 tahun itu kagum dengan Valencia, yang pernah dua kali menjadi naib juara kejohanan utama kelab Eropah itu.

"Saya gembira kerana ia adalah satu keluarga yang besar.

"Saya tiada perkataan untuk menggambarkan rakan sepasukan saya.

"Dalam tiga tahun ini, kami sudah mencipta sesuatu yang istimewa bersama-sama.

"Kami telah membawa kelab yang hebat ini ke tempat yang sepatutnya setelah sekian lama."