Rodrigo kekal di Mestalla sehingga 2022

Oleh Penulis Jemputan 24 November 2017 164
Rodrigo kekal di Mestalla sehingga 2022
Penyerang Valencia, Rodrigo, bersetuju dengna kontrak baru, sekaligus menyaksikannya kekal di Mestalla sehingga 2022.

Rodrigo menandatangani kontrak selama empat tahun ketika menyertai Los Che secara tetap dari Benfica pada 2015 selepas menghabiskan masa selama semusim di Sepanyol menerusi pinjaman.

Pemain berusia 26 tahun itu kini menikmati prestasi yang hebat, menjaringkan lapan gol dalam 13 perlawanan dalam semua kejohanan dan membolehkannya menerima panggilan daripada pengendali skuad kebangsaan Sepanyol, Julen Lopetegui.

"Yang terbaik masih belum tiba," kata Rodrigo kepada laman web rasmi Valencia.

"Saya harus memiliki kemahuan untuk meningkat dan berkembang dan masih mempunyai beberapa tahun dalam bola sepak. Apa yang saya mahukan adalah meneruskan prestasi terbaik dan membantu pasukan, sekaligus membuatkan semua orang gembira," tambahnya.

Rodrigo dilihat berpeluang untuk membalas kepercayaan yang diberi apabila Valencia melayan kunjungan Barcelona pada Ahad bagi aksi LaLiga, sekaligus mampu merapatkan jurang dengan pendahulu liga itu dengan empat mata.

"Ia adalah perlawanan yang penting dan sentiasa menjadi aksi istimewa apabila melibatkan pendahulu.

"Kami sedang berada dalam prestasi terbaik dan begitu juga mereka tetapi kami harus lebih yakin untuk turun berdepan Barca," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen