Robertson puji ketangkasan menakjubkan Alisson

Oleh Staff Writer 12 Disember 2018 1545
Robertson puji ketangkasan menakjubkan Alisson
LIVERPOOL 1 NAPOLI 0

"Alisson melakukan aksi penyelamatan menakjubkan di lewat permainan yang membantu Liverpool ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah (UCL)," kata pertahanan The Reds, Andy Robertson.


Penjaga gol kebangsaan Brazil itu menafikan percubaan Arkadiusz Milik dalam waktu kecederaan untuk mengekalkan kelebihan satu jaringan Liverpool ke atas Napoli di Anfield, awal pagi tadi.

Kemenangan tipis itu menyaksikan skuad kendalian Jurgen Klopp itu mara ke pusingan kalah mati bagi mengiringi juara Kumpulan C, Paris Saint-Germain (PSG).

Napoli pula tersingkir ke Liga Europa.

Bagi Robertson, Alisson memberikan impak paling besar buat Liverpool dengan penyelamatan menakjubkan itu untuk memastikan mereka tidak dibolosi pada saat-saat akhir.

"Kami memerlukan permulaan pantas dan itu yang kami lakukan," katanya kepada BT Sport.

"Ketika dalam keadaan 0-0, mereka mengambil risiko tinggi dengan menaikkan pertahanan tengah mereka dan Allison menyelamatkan keadaan dengan baik.

"Apabila keputusan berubah kepada 1-0, kami mula yakin untuk tidak dibolosi dan akhirnya kami berjaya," tambahnya.

Di sebalik aksi ketangkasan Allison yang menakjubkan, Liverpool turut terhutang budi kepada penjaring gol, Mohamed Salah.

Penyerang itu menghasilkan jaringan solo menarik dengan menewaskan dua pertahanan lawan sebelum menolak bola melepasi kawalan David Ospina.

Jaringan kesembilan Salah dalam sembilan perlawanan UCL di Anfield itu mendapat pujian rakan sepasukan, James Milner.

"Ia adalah perlawanan yang sukar memandangkan mereka merupakan pasukan yang baik.

"Kami turut memaparkan prestasi terbaik.

"Kami bertahan sebagai sebuah pasukan dari atas hingga ke bawah.

"Jaringan Salah juga amat menakjubkan.

"Dia punca kemenangan kami.

"Dia sememangnya pemain bertaraf dunia," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen