Roberto Carlos mendedahkan suatu masa dulu, dia mahu melihat bintang Brazil, Neymar, beraksi di Real Madrid.

Neymar menyertai Paris Saint-Germain (PSG) daripada Barcelona pada 2017 tetapi dikaitkan dengan kepulangan ke Camp Nou serta perpindahan mega ke Madrid.

Carlos -- yang merupakan legenda Los Blancos dan Brazil -- berkata dulu dia mahukan Neymar di Santiago Bernabeu.

"Jika ia terpulang kepada saya, Neymar sudah lama beraksi di sini tetapi kehidupan bukan mengenai keinginan seseorang," katanya.

"Pemain hebat sentiasa mahu beraksi untuk kelab terbaik dunia. Real Madrid adalah rujukan pemain masa kini.

"Anda mahu memenangi liga Juara-Juara Eropah? Datang ke Real Madrid."

Carlos memenangi empat kejuaraan LaLiga dan tiga trofi Liga Juara-Juara bersama Madrid tatkala dia turut muncul pemenang Piala Dunia 2002 bersama Brazil.

Bek kiri Madrid ketika ini, Marcelo, semakin diketepikan skuad Brazil sambil penampilan terakhirnya di peringkat antarabangsa hanya ketika Piala Dunia 2018.

Carlos berharap pemain berusia 31 tahun itu akan kembali memperkuatkan skuad kebangsaan Brazil.

"Semua orang berhak meraih peluang baru dan saya fikir Marcelo sedang berkembang semula menjadi pemain yang pernah dikenali menerusi kemampuannya," tambah Carlos.

"Saya harap dia kembali bersama Selecao dan bersaing bersama Filipe Luis, Alex Sandro dan Renan Lodi."