Legenda Real Madrid, Roberto Carlos, percaya kelab itu perlu menamatkan dominasi Barcelona dalam LaLiga dengan kemenangan dalam pertembungan El Clasico pada Sabtu.

Madrid telah muncul sebagai pasukan paling dominan di Eropah dalam tempoh beberapa tahun ini apabila dua kali menjuarai Liga Juara-Juara Eropah dalam tempoh tiga tahun.

Namun, tahun 2008 merupakan kali terakhir Real Madrid muncul juara LaLiga manakala Barcelona tiga kali menjulang trofi di Sepanyol dalam tempoh empat tahun.

Bagaimanapun, rekod Madrid dalam LaLiga kekal ampuh -- hanya sekali gagal menduduki kelompok dua pasukan terbaik dalam tempoh 12 musim -- dan akan bertandang ke Camp Nou selaku pendahulu dan enam mata di hadapan Barcelona.

Bekas pemain bek kiri, Roberto Carlos berasakan pentingya untuk kelab itu menjuarai liga musim ini.

Bercakap secara ekslusif dengan Omnisport, Roberto Carlos -- empat kali pemenang LaLiga dan tiga kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah bersama Real Madrid -- berkata: "Kebelakangan ini Madrid muncul pasukan yang gemar menjuarai Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

"Jika Madrid mampu mengimbangi kepentingan kejuaraan LaLiga, UCL dan Piala Raja Sepanyol, saya yakin mereka mampu menjuarai ketiga-tiga kejohanan.

"Tetapi tahun ini, pada saya, mereka perlu mengutamakan saingan liga kerana sudah terlalu lama kami tidak muncul juara."

Tweet 1