Robben terkejut pelantikan Heynckes

Oleh Penulis Jemputan 13 Oktober 2017 5193
Robben terkejut pelantikan Heynckes
Pemain Bayern Munich, Arjen Robben, mengakui terkejut selepas Jupp Heynckes kembali menerajui kelab Jerman itu.

Bayern memecat Carlo Ancelotti sebagai pengurus selepas melalui permulaan musim yang hambar, termasuk kekalahan 0-3 di tangan Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Juara bertahan Bundesliga itu melantik Heynckes sebagai pengganti, membuatkan pengurus berusia 72 tahun itu keluar daripada persaraannya.

Situasi itu membuatkan Robben -- yang bermain di bawah Heynckes ketika kempen cemerlang Bayern pada musim 2012/13 -- teruja untuk kembali bekerjasama dengan pengendali dari Jerman itu.

"Satu perkara yang memeranjatkan kerana saya berada di Belanda dan walaupun spekulasi menular di semua media, tiada seorang pun yang menyebut nama Heynckes.

"Ia satu kejutan buat saya tetapi dalam masa sama merupakan perkembangan positif," kata Robben.

Bayern Munich akan kembali beraksi dalam saingan domestik pada hujung minggu ini apabila melayani kunjungan Freiburg dan Robben sedar seluruh pasukan perlu menampilkan aksi terbaik dalam usaha untuk mengejar pendahulu liga, Borussia Dortmund.

"Saya yakin kami akan dapat beraksi baik dalam perlawanan akan datang, bermula pada esok dan saya mengharapkan rakan sepasukan menunjukkan komitmen yang tinggi.

"Kini, segala-galanya terserah kepada pemain-pemain. Kami harus membuktikannya di dalam padang kerana Bayern ketinggalan lima mata di belakang Dortmund, jadi sudah tentu kami tidak boleh keciciran mata lagi."

Robben baru-baru ini mengumumkan persaraannya di peringkat antarabangsa susulan kegagalan Belanda melayakkan diri ke Piala Dunia 2018.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen